Thursday, April 30, 2009

Roti Termudah

Di bawah ditunjukkan kaedah mudah membuat roti;

1. Melarutkan yis
Yis yang dibeli perlu dilarutkan bertujuan untuk mengaktifkan yis supaya ia bersedia untuk menjalankan proses penapaian terhadap adunan tepung.
Jika anda menggunakan yis segar dan beku, anda cuma perlu pecahkan yis tadi di dalam mangkuk dan campurkan sedikit gula (sumber makan yis) dan sedikit susu suam. Tiada penambahan air diperlukan. Campuran yis tadi sesuai digunakan jika ia mula berbuih dan kembang.

Jika anda menggunakan yis kering (mauripan), anda perlu larutkan dalam air suam yang bercampur sedikit gula. Kalau nak letak susu pun boleh jugak. Campuran harus diletakan di tempat hangat untuk mengaktifkan yis. Apabila yis sudah berbuih, ia boleh digunakan. Air suam perlu diletakkan jika anda menggunakan yis kering, kerana ia amat memerlukan air berbanding yis basah yang hanya memerlukan sedikit susu suam sahaja.

2. Mengadun doh
Cara yang betul dan terbaik ialah menggunakan mangkuk. Masukan bahan kering seperti tepung, garam, gula bersama-sama. Bahan cecair pula seperti larutan yis, sus, air, telur, mentega diletakan ditengah tengah barang kering tadi (maknanya buatkan lubang di tengah tepung). Kacaukan sehingga sebati dengan senduk.

3. Penggulian kali pertama
Adunan tadi perlu diuli untuk melembutkan doh dan yis bertindakbalas. Jika anda menggunakan mesin, ia memerlukan masa sekurang-kurangnya 15 minit untuk menjadikan doh kenyal. Jika mengguli dengan tangan, hasil adalah lebih baik walaupun masa yang diperlukan adalah tidak kurang dari 20 minit. Sesetengah chef yang menguli doh dengan tangan melakukannya sehingga tangan lenguh.


Apabila menguli dengan tangan, gunakan papan pencanai dan bukannya mangkuk. Taburkan sedikit tepung pada papan. Apa yang anda lakukan ialah lipat doh ke arah anda dan tolak doh ke depan dengan tapak tangan. Pusingkan doh dan ulang proses beberapa kali dengan arah yang sama. Jangan menggunakan arah berlainan setiap kali menguli kerana ia akan menyebabkan yis tidak tersebar sekata di dalam doh.

4. Mengembangkan doh
Doh perlu dikembangkan sebelum dibakar. Apabila mengembangkan doh, biarkan ia dalam keadaan bulat. Jangan membentukkan doh kepada bentuk-bentuk yang tidak senonoh kerana ini makanan.
Doh harus ditutup dengan plastik yang bersapu margerin untuk mengelakan doh tadi kering dibahagian luarnya. Jika ini berlaku, doh tadi tidak akan mengembang.
Doh yang baik akan mengembang kepada saiz 2 kali ganda saiz asal dan masa yang diambil adalah 30 - 90 minit.

5. Menguli semula dan membentuk
Doh tadi walaupun telah mengembang masih belum boleh dibakar kerana ia belum menepati tekstur yang sesuai untuk dipanggil roti. Apa yang anda perlu lakukan ialah letakan doh pada papan pencanai dan leperkan dia dengan menekan pemumbuk anda. Jangan ditumbuk. Uli kembali selama 2 minit dan bolehlah dibentukan kepada bentuk yang anda suka. Tapi anda tetap dilarang untuk membentuk kepada bentuk benda tak senonoh. Untuk roti kismis dan lain-lain yang berinti, masukannya sekarang.

6. Mengembang kali kedua
Dalam proses ini yis masih aktif dan masih boleh mengembangkan doh tadi. Proses masih sama seperti tadi. Kalau anda suka sekaranglah masanya untuk meletakkan kismis, kacang, gula perang dan bahan lain di atas doh.

7. Membakar
Cara yang betul ialah memanaskan dahulu ketuhar anda sehingga suhu 240°C dan apabila suhu telah dicapai, barulah masukan doh tadi. Jika anda memasukan doh dahulu baru panaskan ketuhar, doh tadi akan menjadi keras di sebelah luar (membentuk kulit) dan apabila doh hendak berkembang, kulit tadi akan menghalangnya.
Selepas 15 minit, suhu ketuhar harus diturunkan kepada 190°C dan bakar lagi hingga masak. Roti yang masak akan kelihatan kosong bila dijentik.

No comments:

Post a Comment